Tuesday, June 25, 2013

Kreatif

Orang kata , "kreatiflah sikit!"

Kita pula terfikir, "nak kreatif yang macamana?"

Isu kreatif ini sebelum ini pernah juga berlegar-legar di kepala. Pening juga kadang-kadang memikirkannya. Sebab kita pun sendiri tidak memahami erti sebenar kreatif ini.

Suatu hari, saya menonton sebuah video di perisian TED yang mengumpulkan ceramah-ceramah professional barat yang mana, masing-masing cuba untuk berkongsi idea masing-masing.

Adalah sebuah video ini yang menceritakan pengalaman seorang doktor kanak-kanak yang berkongsi cerita mengenai kreatif.

Tahukah apa yang dilakukannya?

Doktor ini selalu menghadapi masalah kanak-kanak yang takut hendak masuk ke sebuah mesin untuk diagnosis (lebih kuranglah) keadaan mereka. Maka, doktor ini pun memikirkanlah apakah cara terbaik supaya dapat meyakinkan kanak-kanak ini agar tidak takut.

Jadi, doktor tersebut menukar design tempat untuk diagnosis itu. Daripada kelihatan seperti sebuah klinik, kepada sebuah bentuk taman yang indah. Hanya dengan mengecat dinding-dinding dan mewarnakan mesin tersebut.

Akhirnya, kanak-kanak yang takut hendak didiagnosis tadi menjadi seronok pula untuk masuk ke tempat itu dan juga mereka merasakan kalau boleh hendak masuk lagi. Sudah suka pula.

Apa yang saya dapat daripada perkongsian doktor tersebut, itulah agaknya yang dikatakan kreatif.

Macamana tu?

Bagi saya, boleh jadi datang kekreatifan itu apabila kita berusaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara lebih bijak dan kelihatan menarik.

Kalau seorang guru yang mengajar tetapi tidak kreatif apa yang akan berlaku biasanya? Tiada peningkatan kualtit dan murid-murid akan cepat bosan.

Kadang-kadang apa yang kita hendak beritahu selalunya betul, tetapi disebabkan cara untuk kita menyampaikan mesej tersebut tidak kreatif dan hambar menyebabkan ianya tidak diterima.

Bagaimana pula dengan diri kita yang merasakan tidak begitu kreatif?

Mudah sahaja, banyakkanlah membaca, menimba pengalaman, melihat hasil tangan mereka-mereka yang kreatif. Yang penting kita ada keinginan untuk mencapai perkara tersebut.

Ini sekadar cadangan sahaja daripada saya. Mungkin anda ada idea yang lebih baik daripada ini.

Monday, June 24, 2013

First to say

Menulis adalah untuk menyampaikan sesuatu yang tidak mampu dikatakan oleh lidah. Kerana itu, teknik penulisan selalunya jauh berbeza daripada kaedah pengucapan.

Tidak semua orang mampu membuat semua orang faham mengenai apa yang disampaikannya melalui percakapan, mujurlah ada bidang penulisan yang memberikan dia peluang untuk menyampaikan kefahamannya melalui cara yang lain.

Menulis juga membuatkan kita berfkir dan berfikir kerana kita memerlukan idea untuk menulis. Kadang-kadang, kita ada banyak benda yang hendak diberitahu, tetapi kita tiada ruang untuk mencurahkannya, maka di sinilah antara ruang yang menarik untuk kita mencurahkan segala bentuk idea.

Idea ini, selalunya akan datang sekejap-sekejap dan kadang-kadang. Saya umpamakan seperti percikan api di waktu yang gelap. Pada waktu yang gelap, kita memerlukan cahaya untuk memastikan apa yang berada di sekeliling kita. Di saat itu, sekiranya ada sepercik cahaya tentu kita akan tahu serba-sedikit apa yang berada di hadapan kita dan sesudah itu barulah mungkin datang kekuatan untuk melakukan sesuatu.

Tidak semua mampu untuk memahami setiap perkara yang kita fikirkan. Sebab itu jugalah tidak semua orang mampu untuk memahami tulisan-tulisan seseorang. Maka, mereka menafsirkan apa yang kita sampaikan itu menurut kefahaman mereka.